MENYUSU badan kini sudah kembali sebagai trend malah, ramai ibu muda pada masa kini tanpa mengeluh tetap akan mencari sudut privasi bagi menyusukan anak walaupun di pusat beli-belah, kedai makan mahupun dalam majlis keramaian.
Jika tidak diberi menyusu terus dari payu dara, lambakan jenama dan jenis pam susu badan manual mahupun elektrik menjadikan wanita yang berkerjaya juga mampu memberikan susu badan secara eksklusif kepada bayi mereka.
Menyusukan anak secara eksklusif bermakna bayi disusukan dengan susu ibu sahaja tanpa diberi air masak, susu formula atau makanan tambahan lain selama enam bulan dan meneruskannya sehingga dua tahun.
Justeru itu, pemilihan pam susu yang bersesuaian perlu dititikberatkan untuk mengelakkan proses mengeluaran susu tidak terganggu akibat kejutan terutama dari segi sedutan.
Menurut Kaunselor Laktasi dan Pengarah Urusan Sarakids, Nor Farah Farhan Abdul Fattah, pemilihan pam yang bergred hospital amat penting kerana ia lebih selesa digunakan, mengikut sedutan seperti mulut bayi selain tidak menyakitkan.
Menceritakan lebih lanjut, wanita yang mesra disapa Farah, 30, mencadangkan supaya ibu-ibu yang bekerja membuat kaji selidik menerusi Internet, rakan-rakan yang berpengalaman ataupun berjumpa dengan pakar laktasi sebelum membeli gajet tersebut.
Katanya, sekiranya tersilap memilih kerana mahu yang murah, mungkin pam tersebut tidak bergred hospital sekali gus membantutkan proses pemerahan susu apabila payu dara ibu berasa sakit dan tidak selesa.
“Pemilihan pam yang betul sangatlah penting kerana ciri-ciri pam yang sepatutnya dipilih adalah sedutan yang menyerupai hisapan mulut bayi,” jelasnya.
Tambahnya, bagi ibu yang bekerja, lebih mudah sekiranya mereka memilih pam berganda (double-pumping) kerana ia amat menjimatkan masa, iaitu mereka boleh memerah susu pada kedua-dua belah payu dara secara serentak untuk tempoh 20 hingga 30 minit.
Kelengkapan pam
Selain pemilihan pam susu, ibu juga sudah boleh mula mencari produk penyusuan susu ibu di pasaran seperti beg penyejuk, gel ais dan beg yang bersesuaian untuk memudahkan ibu semasa hendak mula bekerja nanti.
Kata Farah, susu ibu boleh disimpan dalam peti sejuk dua pintu (pintu atas) selama tiga bulan, peti sejuk satu pintu selama dua minggu dan peti sejuk beku selama enam bulan.
Bagi wanita yang bekerja, memang diakui, pada mulanya pasti ramai yang agak malu untuk melakukan proses mengepam di tempat kerja yang sudah tentu menarik mata nakal rakan lelaki yang memandang.
“Sebenarnya mudah sahaja untuk mengepam di pejabat, yang paling penting pemilihan baju serta pakaian dalam yang mudah untuk diselak untuk mencekup corong pam susu dengan mudah.
“Selain itu, pemilihan pam elektrik yang kurang mengeluarkan bunyi, malah boleh juga ditempatkan motor pam itu di dalam beg khas untuk mengurangkan gegaran dan juga bunyi pam,” katanya yang turut mereka pam elektrik jenama sendiri, Modu hasil kerjasama dengan Insan iaitu sebuah syarikat di Korea.
Kelebihan susu badan
Bagi ibu yang meninggalkan anak di rumah pengasuh, oleh kerana kebanyakan pengasuh sudah terbiasa memberikan susu formula kepada bayi di bawah jagaan mereka, ia menyebabkan kemungkinan bekalan susu perahan yang disediakan tidak mencukupi selama di rumah pengasuh.
Ini kerana ramai yang keliru mengenai kuantiti susu diperlukan oleh bayi yang membesar dari bulan ke bulan.
Ia menyebabkan ramai ibu berada dalam dilema sama ada terus memberi anak susu badan apabila si kecil di bawah jagaan pengasuh.
Nasihat Farah, konsep permintaan dan pembekalan perlu difahami ibu supaya mereka tidak tersalah anggap dengan kebolehan badan menghasilkan susu untuk anak-anak.
“Sebenarnya ramai ibu yang tidak tahu bahawa pengambilan susu perahan oleh bayi dari umur satu bulan hingga 6 bulan adalah sama dan tidak berubah. Ia adalah lebih kurang tiga auns sekali minum dengan empat hingga lima kali dalam tempoh ibu bekerja.
“Diakui pada awalnya, bayi akan merengek dan memberi isyarat seperti mahu menghisap susu lagi, namun ibu boleh melatih pengasuh untuk mendukung, bermain dan memberi lebih perhatian kepada bayi.
“Ini kerana kebiasaannya ramai yang beranggapan susu badan harus ditambah untuk bayi seiring dengan peningkatan usia sehingga 6 bulan.
“Bagaimanapun, pendapat itu mungkin hanya sesuai untuk susu formula sebagaimana yang tercatat pada label pada tin.
“Keunikan susu ibu adalah apabila Allah telah pun menetapkan khasiatnya mengikut keperluan umur,” jelasnya sambil menerangkan bayi sememangnya mempunyai naluri menghisap namun, keadaan ini bukanlah bermakna bayi tidak cukup susu.
Pengalaman sendiri
Berkongsi pengalaman sebagai wanita yang bergelar ibu, Farah juga menginginkan yang terbaik buat tiga orang buah hatinya, Puteri Sara Azalea, 4, Puteri Syasya Adalea, 3, dan Putera Shafik Adrian, 4 bulan.
Isteri kepada seorang jurutera, Saiful Azwan Rasidi itu sedar perkara asas yang terbaik untuk anak-anaknya sejurus selepas dilahirkan adalah dengan memberi susu ibu secara eksklusif.
Lulusan bidang Mikrobiologi dari Universiti Teknologi Mara itu sanggup meninggalkan jawatan sebagai pensyarah di salah sebuah institusi pengajian tinggi swasta selepas dia melahirkan anak sulungnya.
“Saya akui dulu semasa anak sulung, saya kurang pengalaman dan persediaan. Malah, ketika anak saya berumur 8 bulan, saya diberikan rezeki untuk mengandungkan anak kedua pula, ketika itulah saya berhenti memberi susu badan kepada anak sulung kerana mendengar cakap orang yang lebih tua.
“Ada yang kata tidak elok untuk kesihatan bayi yang dikandung kerana bimbang, khasiat makanan ibu yang sepatutnya diambil bayi dalam kandungan, ‘dicuri’ anak yang sedang menyusu,” katanya yang berjaya melengkapkan kursus penyusuan yang melayakkannya bergelar kaunselor laktasi dari Pusat Perubatan Universiti Malayia (PPUM).
Enggan mengulangi kesilapan pertama, Farah memilih menyusu secara eksklusif bagi anak kedua dan ketiganya.
“Ia adalah nikmat tak ternilai bagi seorang ibu, malah sokongan daripada orang tersayang iaitu suami amat saya hargai,” katanya yang ternyata puas kerana dapat menyusukan anak-anaknya tanpa susu formula.
Dengan kesedaran yang ada, Farah bertekad menubuhkan sebuah pusat sehenti bagi barangan bayi dan gajet lengkap untuk penyusuan susu ibu yang diberi nama Sarakids.
Sarakids kini mempunyai lima cawangan utama seluruh negara dan turut melebarkan sayapnya ke Brunei, Singapura dan Korea.
Untuk maklumat lanjut mengenai Sarakids, boleh ke laman web www.sarakids.com atau ke kedai di alamat 42-1, First Floor, Jalan Opera L U2/L, Taman TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor.
Cayok! cayok!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
komen jer..